COME JOIN US!!

Royalti Minyak Sabah, Petronas Kaut Kesemuanya? Satu Penjelasan... @MPKotaBelud

PERTAMBAHAN ROYALTI MINYAK DAN KUALA LUMPUR MENGAUT SEMUANYA: LINGKARAN KEKELIRUAN

Acapkali kita mendengar dakwaan pembangkang berhubung dua isu utama yang agak emosi bagi rakyat Sabah iaitu janji menaikkan kadar royalti minyak kepada 15% untuk Sabah dan dakwaan Kerajaan Persekutuan merampas semua kekayaan Sabah tanpa memberi apa-apa sebagai balasan.

Isu-isu ini mesti dijawab berdasarkan fakta dan tepat pada masanya bagi mengelak mana-mana pihak dipedaya mulut manis pembangkang.

Kita mulakan dengan isu kenaikan royalti minyak sebanyak 15% kepada Sabah. Di atas kertas, bunyinya memang menarik tetapi hakikatnya, wujud pelbagai kebimbangan bagi menjadikan impian itu satu kenyataan. Berjanji memang mudah tetapi menzahirkannya adalah cerita berbeza.

SEKILAS PANDANG

Urusan berkaitan petroleum bukan perkara remeh. Kerangka menyeluruhnya, cabaran teknikal dan risiko kewangan yang besar dengan sendirinya menyaksikan hanya syarikat besar memiliki kepakaran serta sumber kewangan kukuh berani mengendalikannya.

Bayangkan kerja-kerja perlu dilakukan untuk menurunkan paip menggerudi sedalam 4.5 km dari paras laut dalam persekitaran mukabumi yang penuh tekanan untuk menggali minyak. Ia memerlukan peralatan khusus dan amat mahal yang cuma dimiliki penggerak utama industri minyak dunia (seperti Shell, Murphy Oil, ExxonMobil dll). Kos cari gali minyak boleh memakan belanja besar mencecah berjuta dolar dan pastinya dibazir begitu saja jika tiada minyak ditemui di kawasan yang dikenal pasti.

Syarikat petroleum negara, Petronas, tidak memiliki kemampuan menanggung risiko kewangan berkenaan seperti mana rakannya di negara membangun lain seperti Indonesia, Venezuela dan Nigeria.

Selain itu, Petronas juga tidak mempunyai kekuatan kewangan untuk membelanjakan berbilion ringgit melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) atau menanggung risko kewangan dalam fasa cari gali dan pengeluaran, terutama apabila peruntukan besar seperti itu diperlukan bagi pembangunan negara.

Berbeza dengan Petronas yang banyak beroperasi di perairan Malaysia, penggerak utama petroleum dunia memiliki kelebihan dari segi sumber kewangan. Mereka beroperasi di seluruh dunia dan langkah itu dengan sendirinya mengurangkan kos fasa R&D, usaha cari gali dan pengeluaran.

Jika minyak ditemui, modal diperlukan bagi setiap fasa pasti lebih besar. Difahamkan, fasa pengeluaran minyak boleh menelan belanja setinggi RM2 bilion dan ada kalanya lebih besar daripada itu.

Bagi mengurangkan beban risiko kewangan akibat ketidaktentuan penemuan minyak, Petronas menyertai perjanjian kerjasama (dikenali sebagai Kontrak Perkongsian Pengeluaran atau PSC, disusuli Kontrak Perkongsian Risiko atau RSC) dengan syarikat multinasional seperti Shell, Murphy Oil atau ExxonMobil dan lain-lain.

Syarikat minyak gergasi ini diberi peratusan keuntungan diperoleh sebagai balasan menanggung risiko kewangan dan berkongsi teknologi R&D bernilai berbilion ringgit.

PETRONAS MENGAUT SEMUANYA?

Pembangkang kerap membuat tanggapan kononnya Petronas tidak adil dalam mengagih keuntungan kepada Sabah. Justeru, mengikut percaturan mereka, Petronas sepatutnya memberi tambahan 15 peratus royalti keuntungan minyak kepada Sabah.

Bolehkah ia dilakukan? Mari kita lihat kenyataannya.

Contoh berikut mungkin tidak merangkumi setiap perincian kerjasama (JV) yang disertai Petronas, namun ia memadai untuk memberi gambaran adil terhadap hakikat sebenar.

Ilustrasi di bawah menjelaskan keuntungan Petronas hasil perolehan minyak Sabah.



Bagi setiap RM100 keuntungan diperoleh daripada hasil minyak Sabah, sejumlah 5% disalurkan sebagai simpanan Kerajaan Negeri manakala 5% lagi kepada simpanan Kerajaan Pusat. Sejumlah 45% digunakan bagi menampung kos pemulihan manakala 45% lagi diagih sebagai untung kasar bersama.

Kesimpulannya, selepas berkongsi pendapatan dengan pihak lain dan membayar cukai, adalah jelas keuntungan Petronas hanyalah sekitar 16.74%. Jika Petronas diminta membayar tambahan 15% daripada margin keuntungannya, ia tidak mampu menampung perbelanjaan, komitmen kewangan dan melakukan pelaburan semula sebagai pendapatan akan datang.

Akibatnya, Petronas akan menanggung beban kewangan yang mungkin membawa kepada muflis!

Jika Petronas gagal membayar tanpa menjejaskan kedudukannya, dari mana pula datangnya tambahan 15% itu? Jelas, pilihan yang ada cuma dua iaitu rakan kongsi PSC atau Kerajaan Pusat.

Besar kemungkinan, rakan kongsi PSC tidak akan melanggar perjanjian dipersetujui dengan Petronas seperti termaktub dalam kontrak. Tambahan pula, peratusan keuntungan yang rendah akan menjadikan kerja cari gali minyak di Malaysia kurang menarik.

Jika rakan kongsi JV menolak tawaran kerja di Malaysia, kita tidak mungkin dapat mengeluarkan minyak menerusi kaedah ekonomikal. Jika itu berlaku, ia mungkin menyebabkan Malaysia berdepan masalah keselamatan tenaga yang serius. Malah, jika tiada yang mencari gali minyak, kita mungkin terpaksa mengimport semua keperluan tenaga!

Dengan keadaan Petronas dan rakan JV tidak dapat menampung tambahan royalti 15% (kira-kira RM12.5 bilion) bagi negeri pengeluar minyak iaitu Sabah, Sarawak dan Terengganu, pilihan yang ada ialah mengambil daripada Kerajaan Pusat yang menerima dividen tahunan kira-kira RM30 bilion daripada Petronas.

Bagaimanapun, pilihan ini mempunyai kesan tersendiri.

Berikutan penyusutan dividen daripada Petronas, sumber kewangan Kerajaan Pusat turut berkurangan bagi peruntukan Bajet. Ini bermakna kerajaan terpaksa memotong perbelanjaan bagi kepentingan awam seperti subsidi, sekolah, hospital, balai polis, jalan dan kemudahan asas lain. Dalam hal ini, pihak paling teruk menerima kesannya ialah negeri bukan pengeluar minyak.

Sebagai Perdana Menteri, Anwar Ibrahim perlu memiliki kekuatan moral untuk memberitahu negeri bukan pengeluar minyak bahawa beliau terpaksa memotong peruntukan Kerajaan Pusat berjumlah RM12.5 billion.

Malangnya, ini tidak akan berlaku.

Pilihan terakhir bagi Anwar Ibrahim ialah meningkatkan royalti minyak Sabha kepada 15% tetapi dalam usaha memastikan beliau mempunyai dana mencukupi bagi seluruh negara, peruntukan Kerajaan Pusat bagi Sabah perlu dipotong. Harus diingat, pengurangan Kerajaan Pusat bagi Sabah adalah haknya sebagai Perdana Menteri.

Pilihan ini kelihatan munasabah walaupun Anwar tidak pernah memberi jaminan untuk tidak memotong peruntukan Kerajaan Pusat bagi Sabah. Ketika ini, peruntukan buat Sabah adalah antara yang tertinggi di Malaysia.

Sebenarnya, aneh juga bila difikirkan Anwar tidak pernah menyatakan secara terbuka dengan spesifik janjinya menaikkan royalti minyak sebanyak 15%. Mungkin beliau sedar penjelasan berkaitan isu itu mustahil dilakukan. Nampaknya, membiarkan rakyat Malaysia tertanya-tanya adalah cara lebih mudah. Malah, saya pernah bertanya kepada pembangkang termasuk Anwar Ibrahim sendiri di Parlimen mengenai perincian perkara ini. Saya mengharapkan jawapan tapi apa yang saya dapat hanyalah renungan tajam mereka!

KERAJAAN PUSAT KUTIP LEBIH DARIPADA PERBELANJAAN DIBERI KEPADA SABAH

Ini satu lagi dakwaan tidak bertanggungjawab pembangkang bagi meraih undi simpati di Sabah. Ia adalah pembohongan liar yang jika tidak dijawab dengan fakta, boleh mencetuskan perpecahan dan kebencian terhadap Kerajaan Barisan Nasional.

Isu ini perlu diperhalusi sebagai objektif dan kita lihat sama ada benar Kerajaan Pusat mengambil sumber Sabah (termasuk keuntungan hasil minyak) secara melampau tetapi hanya sedikit yang diberi.

Ilustrasi berikut memaparkan kutipan Kerajaan Pusat pada 2011 dan jumlah dibelanjakan di Sabha bagi tahun sama.



Di sebalik segala fitnah yang dilempar pembangkang, hakikatnya Kerajaan Pusat memberi peruntukan besar buat Sabah (RM4.736 bilion) berbanding yang dikutip dalam tahun sama.

Perangkaan Bahagian Analisa Cukai dan Bahagian Pengurusan Belanjawan, Kementerian Kewangan Malaysia itu menyaksikan aliran sama sejak 2007 beserta pecahan setiap kementerian.

Ia menunjukkan aliran perbelanjaan konsisten Kerajaan Persekutuan di Sabah berbanding pungutan setiap tahun. Ia adalah kebenaran dan kita semua tahu statistik tidak akan menipu.

Bagi 2012 dan tahun-tahun mendatang, tiada sebab bagi aliran itu berubah, terutama selepas Datuk Seri Najib Tun Razak memberi penegasan bahawa penekanan khusus akan dilaksanakan terhadap pembangunan Sabah menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Barisan Nasional Sabah mendapati Perdana Menteri YAB Dato Seri Najib Tun Razak tidak menghampakan rakyat Sabah. [SUMBER]
Share this article :

Post a Comment

 
Support : xxxx | xxxx | xxxx
Copyright © 2011. BN Youth Cyber Team - All Rights Reserved
created by RioRashid manage by UMB-PPUM
Proudly powered by Blogger