COME JOIN US!!

#PRU13 - Idealisme @NajibRazak Mirip Bapanya Tun Abdul Razak.



KUALA LUMPUR - Perbandingan antara bapa dengan anak pernah dibuat sebaik saja Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perdana menteri, dan pelancaran manifesto pilihan raya umum Barisan Nasional (BN) malam tadi menyerlahkan persamaan yang cukup ketara antara kedua-dua mereka dalam meneraju negara.

Lebih empat dekad memisahkan pentadbiran mereka namun mindset dan fokus tetap luar biasa serupa. 

Tun Abdul Razak, perdana menteri antara 1970 dan 1976, tidak pernah menggunakan slogan seperti “Rakyat Didahulukan” dan “Pencapaian Diutamakan” tetapi itulah sebenarnya asas strategi dan tindakan yang beliau ambil. 

Sebagaimana ahli sains politik Dr Chandra Muzaffar nyatakan, Tun Razak melakukan transformasi negara menerusi beberapa cara ketika Malaysia bertungkus
lumus untuk pulih dari rusuhan perkauman terburuk berikutan prestasi lemah Perikatan yang memerintah, gabungan sebelum BN, dalam pilihan raya umum 1969.

Tun Razak bertindak pantas menangani ketidaksamaan ekonomi dan sosial antara pelbagai kaum menerusi dasar, strategi dan program yang kini disebut sebagai transformasi.

Chandra memberitahu forum TV sejurus selepas pelancaran manifesto BN bahawa amanah adalah ciri penting bagi kepimpinan yang berkesan, yang dipupuk oleh Tun Razak – dan seterusnya dinikmati - di kalangan semua kaum.

Apakah ia satu kebetulan bila Najib menetapkan amanah sebagai faktor utama yang pengundi perlu pertimbangkan bila membuat keputusan mengenai kerajaan baru dalam Pilihan Raya Umum ke-13?

“Oleh kerana proses transformasi beliau berasaskan amanah, kita dapati dalam semua aspek kehidupan kebangsaan sekarang, jejak Tun Razak terkesan di sana. Dan Datuk Seri Najib kini berpegang kepada prinsip itu juga,” ujar beliau.

“Tindakan transformasi Tun Razak menghasilkan perubahan membina yang membawa kestabilan kepada negara".

Sebagai contoh, beliau memperkenalkan perubahan terhadap Perlembagaan negara yang memaktub hak orang Melayu dan Bumiputera. 

Beliau kemudian melakukan transformasi lanskap ekonomi kebangsaan dengan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru yang digubal demi menjamin semua kaum mendapat bahagian adil dari kek ekonomi yang sentiasa berkembang.

Chandra, yang juga presiden International Movement for a Just World berkata, Tun Razak juga mentransform sistem pendidikan kebangsaan, termasuk status Bahasa Melayu, dan memperkenal Rukunegara, mengandungi lima prinsip kenegaraan, yang membantu memupuk keharmonian kaum dan mencetus semangat kebangsaan. 

Dalam hal dasar luar, Tun Razak menganjak pendirian pro-Barat negara ke arah dasar berkecuali dan persahabatan dengan semua, yang mendorong China mengadakan hubungan dengan Malaysia dan memutuskan segala bentuk sokongan terhadap gangguan pengganas komunis yang melanda negara sejak akhir Perang Dunia Kedua.

China amat menghargai langkah itu dan sentiasa menyanjungi Tun Razak, dan kini memperluaskannya kepada Najib dan keluarganya juga.

Jadi, walaupun Najib menggunakan istilah abad ke-21 untuk membuat ikrar pilihan raya, warga tua sedia dapat mengingati bagaimana Tun Razak menumpukan usaha ke arah membawa pembangunan ke serata bahagian negara.

Beliau melaksanakan ini secara yang cukup tersusun, dengan melancarkan Buku Merah, yang menggariskan tidak saja program pembangunan hingga ke peringkat daerah tetapi juga jangka waktu bagi pelaksanaan dan laporan kemajuan.

Matlamat pembangunan ini begitu ketara serupa dengan program ekonomi dan transformasi kerajaan yang dilaksanakan Najib dengan cukup bersungguh-sungguh sejak beliau menjadi perdana menteri empat tahun lepas. 

Dalam manifesto BN, Najib mengingati kata-kata ayahandanya, "Tugas kamu kepada negara adalah untuk memenuhi amanah rakyat dengan sedaya upaya". 

Tun Razak mentadbir sebuah kerajaan dengan keutamaannya prihatin terhadap rakyat biasa dan menyediakan platform yang stabil dan progresif untuk
membolehkan negara mencapai kemakmuran. Usaha beliau terbukti berkesan.

Semuanya menyerlah sebagai tahun-tahun keemasan Malaysia. Rakyat Malaysia boleh menikmati lebih banyak dari itu dalam format abad ke-21.

Cuma, apa yang perlu mereka lakukan ialah memilih calon yang tepat semasa mengundi. - Bernama
Share this article :

Post a Comment

 
Support : xxxx | xxxx | xxxx
Copyright © 2011. BN Youth Cyber Team - All Rights Reserved
created by RioRashid manage by UMB-PPUM
Proudly powered by Blogger