COME JOIN US!!

#PRU13 - BN Janji Beri Tumpuan Kepada Masyarakat Bandar Jika Diberi Mandat.

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) memberi jaminan akan terus meningkatkan tumpuan kepada soal masyarakat yang tinggal di bandar sekiranya terus diberi kepercayaan untuk membentuk kerajaan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata struktur kerajaan mungkin dirombak melalui pewujudan lebih banyak institusi penting untuk menangani masalah yang dihadapi penduduk kawasan bandar.

"Ada perkara khusus yang dihadapi masyarakat bandar termasuk penduduk yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR), kawasan yang ada di sekitar Wilayah Persekutuan baik di Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, yang tidak dihadapi masyarakat luar bandar.

"Ini termasuk isu seperti kemiskinan bandar, masalah sosial, bantuan-bantuan seperti projek perumahan kos rendah dan sederhana, perkhidmatan pengangkutan awam di bandar dan soal berkaitan kos hidup rakyat di bandar," katanya ketika berucap pada program Pemimpin Bersama Rakyat di PPR Desa Rejang di sini Ahad.

Turut hadir isteri beliau Puan Sri Norainee Abdul Rahman, calon kerusi Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari, Ketua Umno Setiawangsa Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan calon kerusi Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani.

Sambil berkata kerajaan BN sedar ada banyak perkara dan masalah yang perlu diberi perhatian, Muhyiddin memberi jaminan sekiranya rakyat memilih calon BN, masa depan mereka akan menjadi lebih baik, maju dan sejahtera.

Berucap dalam keadaan hujan lebat, beliau menegaskan BN adalah parti terbaik yang terbukti telah mencipta pelbagai kejayaan demi kesejahteraan rakyat, termasuk di bawah empat tahun pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Justeru, beliau menggesa rakyat supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kerajaan BN sudah terlalu lama memerintah dan kekeringan idea untuk memajukan negara.

"Kita, BN, sentiasa bersama rakyat, dengar apa yang rakyat mahu untuk bantu di mana sahaja mereka berada," katanya sambil menarik perhatian tidak seperti yang didakwa, pembangkanglah yang menceduk manifesto BN.

"Apa yang sudah dilakukan oleh BN itulah yang dia masukkan dalam manifesto mereka," katanya. - BERNAMA
Share this article :

Post a Comment

 
Support : xxxx | xxxx | xxxx
Copyright © 2011. BN Youth Cyber Team - All Rights Reserved
created by RioRashid manage by UMB-PPUM
Proudly powered by Blogger