COME JOIN US!!

BN Tekad Gempur Negeri Pakatan Habis-Habisan, PR Terpaksa Waspada



KUALA LUMPUR - Gelanggang pilihan raya umum ke-13 (PRU13) menjadi semakin panas hari ini apabila Barisan Nasional (BN) mengumumkan calonnya daripada Umno untuk menggempur negeri-negeri yang dikuasai pembangkang sebelum ini.

Mereka termasuk dua tokoh besar di peringkat persekutuan, iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalan beliau Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, yang masing-masing akan diletakkan bertanding untuk kerusi negeri di Kelantan dan Kedah.

Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman pula diumum akan bertanding di Gelang Patah, yang sekali gus menamatkan spekulasi hebat sebelum ini tentang pertembungan beliau dengan penasihat DAP Lim Kit Siang bagi merebut kawasan parlimen majoriti kaum Cina itu.

Perdana menteri dan pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak memperhebat lagi usaha parti gabungan itu untuk merampas kembali Selangor dengan menyenaraikan 80 peratus muka baharu sebagai calonnya, yang terdiri daripada peguam, jurutera, akauntan dan ahli perniagaan.

"Inilah barisan yang akan menebus kekalahan kami dan meletakkan semula BN sebagai kerajaan di Selangor," kata Najib, yang akan mempertahan kerusi Parlimen Pekan di Pahang, yang merupakan negeri tumpah darah beliau.

Pengumuman barisan calon BN itu mencetuskan kejutan apabila Datuk Zulkifli Noordin diletakkan sebagai calon rakan BN untuk kerusi parlimen Shah Alam. Peguam berusia 51 tahun ini memenangi kerusi parlimen Kulim Bandar Baharu di Kedah atas tiket PKR pada 2008, sebelum beralih arah untuk menjadi anggota parlimen Bebas.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Klang Nasarruddin M Zin diumumkan bertanding di Pelabuhan Klang untuk menentang Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada PKR, yang beralih daripada kerusi Ijok.

Mustapa, yang lebih mesra dengan panggilan 'Tok Pa' oleh masyarakat peringkat akar umbi di Kelantan, akan bertanding bagi kerusi negeri Air Lanas di kawasan Parlimen Jeli, kerusi yang akan turut beliau pertahankan.

Tengku Razaleigh Hamzah, 76, yang masih mempunyai pengaruh besar dalam politik Kelantan, akan terus bertanding di kubu kuatnya, kawasan Parlimen Gua Musang. Putera raja dari negeri Cik Siti Wang Kembang ini merupakan calon BN paling senior dari segi usia.

BN akan meletakkan Che Johan Che Pa sebagai calonnya bagi kerusi Parlimen Pasir Mas, yang sebelum ini dimenangi pemimpin Perkasa Datuk Ibrahim Ali.

Di Kedah, Mukhriz akan membawa obor BN untuk bertanding di kerusi negeri Ayer Hitam.

Anggota parlimen satu penggal dan anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ini ialah antara 19 muka baharu yang akan bertanding bagi merebut 36 kerusi negeri.

BN juga meletakkan tujuh calon baharu untuk bertanding di 15 kerusi parlimen di negeri itu.

Menteri di Jabatan perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang sudah menjadi senator selama dua penggal, akan bertanding untuk kali pertama pada pilihan raya umum dengan menjadi calon BN di Jerai.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung pula akan mempertahan kerusi Parlimen Alor Star.

Di Johor, Menteri Pengajian Tinggi kelahiran Muar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang disebut-sebut akan menjadi pengganti Abdul Ghani sebagai menteri besar, diletakkan bertanding bagi kerusi negeri Permas, setelah menjadi anggota parlimen selama 23 tahun.

Perlis juga bakal mempunyai menteri besar baharu apabila penyandangnya Datuk Seri Dr Md Isa Sabu tidak terpilih sebagai calon.

Melaka bakal mengalami perkara serupa berikutan penghijrahan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Bukit Katil.

Sementara itu, beberapa pemimpin veteran membuat keputusan untuk memberi laluan kepada pemimpin muda termasuk bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi. Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop turut tidak disenaraikan.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan bertanding di kawasan Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang, kawasan yang disandang Abdullah.

Kawasan Parlimen Tasek Gelugor, juga di Pulau Pinang, yang dimenangi Nor Mohamed pada 2008, akan menyaksikan kehadiran Shabudin Yahaya sebagai calon BN.

Tempat Rais pula akan diambil alih Naib Ketua Umno Bahagian Jelebu Zainuddin Ismail sebagai calon BN.

Abu Seman, yang menjadi anggota parlimen selama empat penggal bagi kawasan Masjid Tanah di Melaka, tidak disenaraikan untuk memberi laluan kepada ketua Puteri Umno Melaka Mas Ermieyati Samsudin bertanding sebagai calon BN di kawasan itu.

-- BERNAMA
Share this article :

Post a Comment

 
Support : xxxx | xxxx | xxxx
Copyright © 2011. BN Youth Cyber Team - All Rights Reserved
created by RioRashid manage by UMB-PPUM
Proudly powered by Blogger