BNYCT NEWS
print this page
BERITA TERKINI

COME JOIN US!!

Showing posts with label berita. Show all posts
Showing posts with label berita. Show all posts

UMNO Terus Kukuh Dan Perlu Baiki Kelemahan Setiap Masa - Najib Razak


KUALA LUMPUR: Selepas 67 tahun penubuhannya, Umno masih kekal sebagai sebuah parti yang kukuh dan berjaya tetapi perlu memikirkan kelemahan parti jika ingin mendapat sokongan berterusan daripada rakyat.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu berkata, parti itu yang diberi mandat untuk tempoh lima tahun akan datang perlu merendah diri dan menghormati kehendak rakyat.

"Kita berkumpul di sini sebagai sebuah parti yang kuat. Keputusan pilihan raya menyaksikan kita memenangi 88 kerusi Parlimen, prestasi yang meningkat berbanding hanya 79 kerusi pada 2008.

"Mari kita perbaiki kelemahan parti, terima kasih kepada mereka yang setia bersama kami dan mencari jalan untuk memenangi hati rakyat yang belum menyokong kita pada pilihan raya umum ke-14 nanti," katanya ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun Umno ke-67 di sini.

Majlis itu turut dihadiri bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Timbalannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Najib berkata Umno yang mengekalkan pemerintahan untuk lebih enam dekad boleh dianggap sebagai parti politik paling berjaya di dunia.

Beliau turut mengulangi bahawa Umno bukan parti rasis tetapi sebuah parti yang inklusif dan sederhana.

"Kami menjamin keadilan kepada semua pihak yang mempunyai hak tanpa mengira sesiapa saja sebagai rakan kongsi kita. Kami akan mempertahankan polisi yang adil saksama dan sederhana," katanya.

Najib turut berikrar bahawa Umno dan Barisan Nasional tidak akan membenarkan 'politik oportunis' Pakatan Rakyat untuk memusnahkan segala yang telah diusahakan.

"Walaupun kami menerima cabaran sengit pada pilihan raya lalu, akhirnya, rakyat Malaysia memutuskan mereka inginkan kesinambungan dan kestabilan," katanya.

"Ini akan membenarkan Umno untuk menjadi sebuah parti politik Melayu, Islam dan Malaysia yang lebih dinamik, inklusif dan berwawasan supaya parti ini boleh menjadi universal dari segi perjuangan tanpa melupakan matlamat asal," katanya. -mStar
13 comments

#PRU13 - MCA Tanding 37 Kerusi Parlimen Dan 90 DUN



PETALING JAYA: Tiga pemimpin kanan MCA termasuk dua naib presiden dan juga bekas presiden, tidak terpilih mewakili parti itu dalam pilihan raya umum kali ini.

Mereka ialah Naib Presiden Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Senator Gan Ping Sieu.

Turut digugurkan ialah bekas presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat.Beliau yang mewakili Parlimen Pandan sebelum ini merupakan nama yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai sama ada akan turut dipilih semula sebagai calon atau tidak.

Kini teka-teki tersebut sudah terjawab.

MCA juga tidak menyenaraikan calon mereka di kerusi Gelang Patah sekaligus menguatkan lagi spekulasi yang tempat itu akan ditandingi oleh wakil Umno iaitu Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Ketua MCA Gelang Patah, Jason Teoh tidak disenaraikan langsung untuk mana-mana kerusi.

Kesemua yang digugurkan atau tidak terpilih semula adalah bagi memberi laluan kepada 19 muka baru yang akan diperkenalkan oleh MCA kali ini.

Presiden MCA,Datuk Seri Dr Chua Soi Lek ketika mengumumkan senarai calon parti itu lewat petang ini menyatakan MCA hanya akan bertanding di 37 kerusi parlimen dan 90 kerusi negeri.

Jumlah itu kurang tiga kerusi yang mereka wakili untuk bertanding pada pilihan raya umum yang lalu.

Beliau turut menyifatkan ini adalah pertarungan hidup dan mati parti itu dan oleh yang demikian menyeru semua ahli parti memastikan kelangsungan pemerintahan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan masa depan MCA terjamin.

Untuk kerusi parlimen ujarnya, MCA mempertaruhkan nasib dan harapan ke atas 21 orang calon daripada jawatankuasa pusat parti, 11 calon daripada Pemuda dan lima calon dari sayap Wanita.

Kesemua calon Wanita adalah terdiri daripada muka-muka baru.

Untuk kerusi negeri pula, beliau menyatakan MCA meletakkan harapan kepada 53 calon dari pusat, 25 calon Pemuda dan 12 calon dari Pergerakan Wanita.

MCA mengumumkan nama-nama calon untuk semua kerusi yang ditandinginya melainkan untuk kerusi Parit Yaani di Johor atas sebab-sebab teknikal.

Sementara itu, lain-lain pemimpin parti yang digugurkan termasuklah ahli Jawatankuasa MCA Pusat yang juga Ketua MCA Kuantan, Datuk Ti Lian Ker dan Ketua MCA Tebrau, Teng Boon Soon.

Naib Ketua Wanita, Datuk Heng Seai Kie bagaimanapun terpilih sebagai calon untuk kerusi Parlimen Padang Serai manakala Jessie Ooi, yang sebelum ini diberi jolokan ‘Ms Two Truck’, turut terpilih untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baru.

Calon termuda MCA ialah Ketua Pemuda Kampar, Daniel Wa Wai How, 25, yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Keranji, Perak manakala calon paling tua, ialah Ketua Biro Penerangan MCA Selangor, Datuk Yap Pian Hon, 70, yang akan bertanding di kerusi Parlimen Serdang.

CALON-CALON MCA BAGI KERUSI PARLIMEN:

KEDAH:

1. P009 Alor Setar: Datuk Seri Chor Chee Heung,58, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Naib Presiden MCA.

2. P017 Padang Serai: Datuk Heng Seai Kie,51, Penasihat Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Naib Pengerusi Wanita MCA Pusat.

P.PINANG:

3. P043 Bagan: David Chua Teik Siang,50, Ketua Pemuda MCA bahagian Bagan.

4. P045 Bukit Mertajam: Gui Guat Lye, 51, Peniaga, Naib Pengerusi MCA bahagian Bukit Mertajam.

5. P051 Bukit Gelugor: Teh Beng Yeam, 45, Penguambela, Penolong Setaiusaha MCA Bahagian Tanjong.

6. P051 Bayan Baru: Tan Heap Seng, 56, Jurutera Awam, Pengerusi MCA bahagian Bukit Bendera.

PERAK:

7. P064 Ipoh Timur: Cik Kat Wong Mei Yin, 37, Penganalisa Politik, Timbalan Pengerusi Wanita MCA bahagian Ipoh Timur.

8. P065 Ipoh Barat: Dr Cheng Wei Yee, 39, Doktor Poliklinik Famili, AJK Pemuda MCA Ipoh Barat.

9. P066 Batu Gajah: Loo Thin Tuck, 38, Akauntan, Pengerusi MCA cawangan Taman Pertama.

10. P070 Kampar: Datuk Lee Chee Leong, 56, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Pengerusi MCA Bahagian Kampar.

11. P071 Gopeng: Datuk Tan Chin Meng,53, Penyelaras Parlimen,Pengerusi MCA Bahagian Ipoh Barat & AJK Pusat MCA.

12. P074 Lumut: Datuk Seri Kong Cho Ha, 63, Menteri Pengangkutan, Pengerusi MCA Bahagian Lumut.

13. P077 Tanjong Malim: Datuk Seri Ong Ka Chuan, 59, Ahli Parlimen Tanjong Malim, Pengerusi MCA Bahagian Tapah.

PAHANG:

14. P080 Raub: Datuk Hoh Khai Mun, 58, Ahli Exco Negeri Pahang, Pengerusi MCA Bahagian Bentong.

15. P089 Bentong: Datuk Seri Liow Tiong Lai,52, Menteri Kesihatan, Timbalan Presiden MCA.

SELANGOR:

16. P097 Selayang: Datuk Ir Donald Lim Siang Chai, 58, Timbalan Menteri Kewangan, Naib Presiden MCA.

17. P100 Pandan: Garry Lim Chin Yee, 39, Penguambela, Penasihat undang-undang MCA Pandan.

18. P102 Serdang: Datuk Yap Pian Hon, 70, Penyelaras Parlimen, Ketua Biro Penerangan MCA Negeri Selangor (2010-Kini).

19. P104 Kelana Jaya: Loh Seng Kok, 51,Pengarah Eksekutif, Timbalan Ketua Biro Penerangan MCA Pusat.

20. P105 PJ Selatan: Seah Kok Fah,49, Peguam, Ketua Pemuda MCA Bahagian PJ Selatan.

21. P106 PJ Utara: Cik Chew Hoong Ling, 33,Perunding Kanan, Ahli MCA

22. P110 Klang: Datuk Teh Kim Poo, 62, Pengarah Urusan Syarikat, Pengerusi MCA Bahagian Klang.

WP:

23. P120 Bukit Bintang: Frankie Gan Joon Zin, 47, Pengarah Syarikat, Timbalan Setiausaha Organisasi MCA Bahagian Bukit Bintang.

24. P122 Seputeh: Puan Nicole Wong Siaw Ting, 33, Peniaga, Timbalan Ketua Beliawanis Wanita MCA Nasional.

25. P123 Cheras: Teoh Chee Hooi, 42, Pensyarah Kanan, Naib Pengerusi MCA Bahagian Cheras.

26. P124 Bdr Tun Razak: Tan Kok Eng, 33, Pengarah Syarikat, Ketua Pemuda MCA Bahagian Bandar Tun Razak.

N. SEMBILAN:

27. P128 Seremban: Datuk Dr Yeow Chai Thiam, 59, Pengerusi J/K Perhubungan MCA Negeri Sembilan.

28. P130 Rasah: Teo Eng Kian, 35, Timbalan Pengarah Pengurusan Pusat Hemodialisis Mawar, Timbalan Setiausaha Pengelola MCA Bahagian Rasah.

MELAKA:

29. P135 Alor Gajah: Datuk Koh Nai Kwong, 52, Peguam, Pengerusi MCA Bahagian Bukit Katil.

30. P138 Kota Melaka: Dr Yee Kok Wah, 35,Doktor, Setiausaha Organisasi Pemuda MCA Kota Melaka.

JOHOR:

31. P142 Labis: Datuk Chua Tee Yong, 36, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, AJK Pusat MCA.

32. P145 Bakri: Chris Lee Ching Yong, 37, Peguam, Ketua Pemuda MCA Bahagian Bakri.

33. P148 Ayer Hitam: Datuk Wee Ka Siong, 45, Timbalan Menteri Pelajaran, Ketua Pemuda MCA Pusat.

34. P152 Kluang: Datuk Dr Hou Kok Chung, 50, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Timbalan Setiausaha Agung Pusat MCA.

35. P158 Tebrau: Khoo Soo Seang, 68, Ahli Dewan Negara, Timbalan Pengerusi MCA Bahagian Tebrau.

36. P163 Kulai: Tay Chin Hein, 45, Pengarah Urusan Syarikat, Timbalan Pengerusi MCA Kulai.

37. P165 Tanjong Piai: Puan Wong You Fong, 42, Peguam, Timbalan Wanita MCA Negeri Johor.
0 comments

Manifesto Pakatan Rakyat Mahu Tukar MB Johor Setiap 2 Penggal Sindir Kepimpinan Nik Aziz



PASIR GUDANG: Manifesto Pakatan Rakyat Johor yang mahu menukar Menteri Besar setiap dua penggal diselar Khalid Nordin yang disifat akan memberi implikasi kepada pembangunan negeri.

Pengerusi Barisan Nasional Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyelar cadangan berkenaan yang disenaraikan dalam manifesto Pakatan Rakyat di Johor dengan menyifatkannya sebagai 'tidak ubah seperti mimpi'.

Beliau berkata pakatan pembangkang sepatutnya melaksanakan cadangan berkenaan di negeri-negeri yang ditadbir oleh mereka terutamanya di Kelantan.

"Sudah berapa lama Datuk Nik Aziz Nik Mat jadi Menteri Besar di sana?

"Sekiranya mereka menjadi kerajaan negeri di sini, pembangunan Wilayah Iskandar Malaysia dan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) akan terjejas," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Mykasih kepada 500 penerima di sini pada Ahad.

Manifeto Pakatan Rakyat di Johor ini disifatkan rakyat Johor seperti menyindir kepimpinan Nik Aziz di Kelantan yang telah memegang jawatan tersebut sejak 1987.
2 comments

#PRU13 - Media Asing Dibenarkan Membuat Liputan


KUALA TERENGGANU: Media asing tidak dihalang daripada membuat liputan sepanjang pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) di Malaysia, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Media asing berkenaan sama ada yang sudah mempunyai pewarta mereka di Malaysia, ataupun datang semata-mata untuk PRU13, bagaimanapun perlu mendapatkan pas akreditasi daripada Jabatan Penerangan untuk memudahkan pergerakan mereka membuat liputan.

"Pihak media asing yang datang ke Malaysia untuk PRU13 perlu membuat pas akreditasi (media berwarna merah) untuk memudahkan mereka mendapat akses ke majlis dan acara rasmi sepanjang PRU13," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media PRU13 negeri di pejabat Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) di sini, Jumaat.

Beliau berkata untuk mendapatkan pas akreditasi itu mereka hanya perlu melalui beberapa proses mudah di Jabatan Penerangan selain perlu memaklumkan kepada Wisma Putra (Kementerian Luar).

Pas media itu boleh disiapkan dalam tempoh dua hari, dan dengan pas itu mereka boleh memohon mendapatkan pas khas media untuk liputan PRU13, daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam pada itu Ibrahim menasihati wartawan dan jurugambar tempatan agar berhati-hati ketika bertugas di lapangan dan tidak terperangkap dalam situasi persaingan penyokong parti-parti yang bertanding. BERNAMA
0 comments

Pakar Feng Shui Ramal BN Menang #PRU13. Berjaya Rampas Kedah Dan Selangor



KUALA LUMPUR: Seorang pakar Feng Shui meramalkan Barisan Nasional (BN) akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di peringkat kerajaan pusat serta merampas semula Selangor dan Kedah.

David Koh, 67, turut meramalkan BN akan meraih lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang berbanding semasa pilihan raya umum lepas.

Bagaimanapun, BN dijangka menghadapi persaingan sengit di Negeri Sembilan dan Perlis, katanya ketika dihubungi Bernama.

Sebelum ini, Koh pernah memberitahu Bernama TV beliau meramalkan pengundian PRU13 akan jatuh pada 5 Mei depan dan nyata tekaan beliau tepat apabila Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan tarikh tersebut, Rabu.

Biarpun ramai beranggapan ramalannya hanya sekadar 'tembak angin' namun Koh berkata ramalan itu berasas kerana ia menggunakan pengiraan Feng Shui dikenali sebagai 'Shi' yang membawa maksud perang.

"Selepas pembubaran pada 3 April lepas, kita ada 60 hari untuk mengadakan pilihan raya, jadi menurut formula Shi, sepanjang tempoh 60 hari itu akan ada satu hari yang akan berperang dan hari tersebut jatuh pada 5 Mei," katanya.

Koh berkata BN telah banyak membuat perubahan drastik dengan beberapa kejayaan yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memenangi hati rakyat selepas negara mengalami tsunami politik pada 2008.

"Selama lima tahun ini kita dapat lihat pelbagai transformasi telah dilakukan oleh Perdana Menteri. Meramalkan siapa yang menang atau kalah pada pilihan raya kali ini juga memerlukan ramalan yang berasas. Ia bukan bergantung kepada nasib tetapi berdasarkan usaha keras yang dilakukan oleh anggota politik itu sendiri untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata semua pihak perlu terima keputusan siapa menang atau kalah pada hari mengundi nanti dan percaya rakyat Malaysia kini lebih matang dan bijak dalam membuat keputusan. BERNAMA
0 comments
 
Support : xxxx | xxxx | xxxx
Copyright © 2011. BN Youth Cyber Team - All Rights Reserved
created by RioRashid manage by UMB-PPUM
Proudly powered by Blogger