BNYCT NEWS
print this page
BERITA TERKINI

COME JOIN US!!

UMNO Terus Kukuh Dan Perlu Baiki Kelemahan Setiap Masa - Najib Razak


KUALA LUMPUR: Selepas 67 tahun penubuhannya, Umno masih kekal sebagai sebuah parti yang kukuh dan berjaya tetapi perlu memikirkan kelemahan parti jika ingin mendapat sokongan berterusan daripada rakyat.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu berkata, parti itu yang diberi mandat untuk tempoh lima tahun akan datang perlu merendah diri dan menghormati kehendak rakyat.

"Kita berkumpul di sini sebagai sebuah parti yang kuat. Keputusan pilihan raya menyaksikan kita memenangi 88 kerusi Parlimen, prestasi yang meningkat berbanding hanya 79 kerusi pada 2008.

"Mari kita perbaiki kelemahan parti, terima kasih kepada mereka yang setia bersama kami dan mencari jalan untuk memenangi hati rakyat yang belum menyokong kita pada pilihan raya umum ke-14 nanti," katanya ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun Umno ke-67 di sini.

Majlis itu turut dihadiri bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Timbalannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Najib berkata Umno yang mengekalkan pemerintahan untuk lebih enam dekad boleh dianggap sebagai parti politik paling berjaya di dunia.

Beliau turut mengulangi bahawa Umno bukan parti rasis tetapi sebuah parti yang inklusif dan sederhana.

"Kami menjamin keadilan kepada semua pihak yang mempunyai hak tanpa mengira sesiapa saja sebagai rakan kongsi kita. Kami akan mempertahankan polisi yang adil saksama dan sederhana," katanya.

Najib turut berikrar bahawa Umno dan Barisan Nasional tidak akan membenarkan 'politik oportunis' Pakatan Rakyat untuk memusnahkan segala yang telah diusahakan.

"Walaupun kami menerima cabaran sengit pada pilihan raya lalu, akhirnya, rakyat Malaysia memutuskan mereka inginkan kesinambungan dan kestabilan," katanya.

"Ini akan membenarkan Umno untuk menjadi sebuah parti politik Melayu, Islam dan Malaysia yang lebih dinamik, inklusif dan berwawasan supaya parti ini boleh menjadi universal dari segi perjuangan tanpa melupakan matlamat asal," katanya. -mStar
3 comments

#PRU13 - BN Terus Mentadbir Kerajaan Pusat


KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen setakat jam 3 pagi Isnin pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan menyebut, BN menang 25 kerusi di Sarawak, 22 di Sabah, 21 di Johor, 12 di Perak, masing-masing 10 di Pahang dan Kedah, masing-masing lima di Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan, serta masing-masing empat di Melaka dan Terengganu.

BN juga memenangi masing-masing tiga kerusi Parlimen di Perlis dan Pulau Pinang, dua di Kuala Lumpur, serta masing-masing satu di Putrajaya dan Labuan.

DAP pula memenangi 38 kerusi Parlimen, masing-masing tujuh di Pulau Pinang dan Perak, masing-masing lima di Kuala Lumpur dan Sarawak, masing-masing empat di Johor dan Selangor, masing-masing dua di Negeri Sembilan dan Sabah serta masing-masing satu di Melaka dan Pahang.

PKR memenangi 28 kerusi Parlimen, tujuh di Selangor, masing-masing empat di Kuala Lumpur dan Kedah, masing-masing tiga di Perak dan Pulau Pinang, dua di Pahang, serta masing-masing satu di Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.

PAS memenangi 21 kerusi Parlimen, sembilan di Kelantan, masing-masing empat di Terengganu dan Selangor, dua di Perak serta masing-masing satu di Kedah dan Pahang.
0 comments

Tun M Ajak Masyarakat Cina Sokong Barisan Nasional



GURUNTun Dr Mahathir Mohamad mengajak masyarakat Cina supaya terus menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) yang terbukti berjaya membawa kemakmuran dan keamanan kepada negara.

Bekas perdana menteri itu berkata BN juga terbukti memainkan peranan dengan cemerlang serta menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dengan berteraskan prinsip perkongsian kuasa tanpa menyisihkan kaum tertentu.

"Prinsip ini membolehkan rakyat sama ada Melayu, Cina, India dan suku-suku kaum lain mendapat nikmat hasil kemajuan dan kekayaan negara selama lebih 50 tahun.

"Saya harap kita kekalkan kerajaan BN supaya perkongsian kuasa ini akan menjadi negara ini lebih maju dan makmur," katanya ketika berucap di hadapan lebih 3,000 hadirin pada majlis Makan Malam 1Malaysia anjuran Gabungan Persatuan Kebajikan Cina Hua Heng di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Choong Hwa di sini malam Jumaat.

Turut hadir Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Timbalan Pengerusi BN Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir serta calon BN bagi kawasan Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun, Dr Leong Yong Kong.

Sambil meminta masyarakat Cina tidak terpengaruh dengan dakyah DAP yang cuba menimbulkan sentimen kebencian antara orang Melayu dan Cina, Dr Mahahtir berkata rakyat akan terus menikmati kemakmuran hasil perpaduan yang utuh.

Beliau berkata slogan 'Malaysian Malaysia' yang dibawa masuk oleh People Action Party (PAP) dari Singapura dan diperjuangkan DAP, hanya merosakkan perkongsian kuasa dan hubungan antara kaum di Malaysia.

"Hubungan orang Melayu dan Cina amat akrab tetapi DAP membawa budaya politik tidak sihat dengan memainkan isu-isu sehingga dua kaum ini bermusuhan. Politik sebegini berbahaya kerana menggugat perpaduan kaum. "Konflik yang timbul akibat permusuhan akan menjejaskan kemakmuran dan memusnahkan masa depan negara. Apabila perkara ini berlaku, tiada siapa dapat hidup dengan aman," tambahnya.

Beliau yakin Kedah akan berkembang lebih pesat dari segi ekonomi sekiranya BN kembali memerintah selepas pilihan raya ini. "Saya yakin BN berupaya bawa Kedah lebih pesat membangun dan rakyat pelbagai kaum termasuk orang Cina akan mengecapi kehidupan lebih makmur dan baik," kata Dr Mahathir. -BERNAMA
0 comments

SPR Jelaskan Tiada Agenda Memenangkan Parti Tertentu



PUTRAJAYA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusofmenegaskan bahawa suruhanjaya itu tiada sebarang agenda untuk menipu bagi memenangkan pihak tertentu dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Abdul Aziz yang menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa SPR bersekongkol dengan Barisan Nasional (BN), berkata kemenangan dan kekalahan seseorang calon serta parti politik bukanlah kerana SPR tetapi kerana pengundi tidak memilih.

"Apa yang kita buat adalah mengikut aturan dan undang-undang. Kita (SPR) telah adakan 12 kali pilihan raya. Tidak ada langsung agenda SPR untuk menipu bagi memenangkan seseorang," katanya dalam sidang media di sini, Khamis.

Sidang media itu diadakan berhubung dakwaan Naib Presiden PKR Tian Chua bahawa SPR dan BN mempunyai agenda melakukan penipuan dalam pilihan raya kali ini.

Sementara itu bagi memastikan tiada sebarang kecelaruan pada hari mengundi, beliau berharap tiada sesiapa yang cuba mencampuri urusan petugas SPR dan calon serta pemerhati tidak boleh mengatasi tugas ketua tempat mengundi.

"Mana-mana ejen tidak boleh bawa masuk komputer. Ejen jangan nak jadi ketua tempat mengundi. Ketua tempat mengundi pula jangan ikut arahan ejen parti. Mereka hanya pemerhati," katanya.

Abdul Aziz berkata bagi menghadapi masalah teknikal seperti gangguan elektrik dan telefon, pihaknya telahpun berhubung dengan Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad.

Ketika ditanya mengenai isu dakwat kekal, Abdul Aziz berkata beliau tidak menyalahkan pegawai SPR yang bertugas kerana kejadian itu hanya kesilapan kecil untuk cubaan kali pertama.

"Ia (dakwat) tidak akan tanggal jika digunakan dengan betul. Kami tidak pernah menggunakannya sebelum ini. Saya yakin ia kekal di jari. Saya berharap tidak jadi isu, harap semuanya sempurna tetapi realitinya kami tidak dapat mencapai kesempurnaan," katanya. -BERNAMA
0 comments

Botol Dakwat Kekal Tidak Digoncang Punca Dakwaan Mudah Luntur


KUALA LUMPUR - Dakwaan dakwat kekal yang dicalit pada jari seorang pengundi awal mudah hilang dengan membasuh jarinya mungkin disebabkan kegagalan sebahagian petugas Suruhanjaya Pilihan Raya mematuhi cara penggunaan dakwat itu.

Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata ekoran dakwaan itu, SPR membuat beberapa ujian semalam dan hasilnya jari mereka yang telah dicalit dengan dakwat kekal yang botolnya digoncang lebih kekal dakwat itu di jari mereka dibandingkan dengan botol yang tidak digoncang.

"Walau apa pun kesan dakwat kekal itu, SPR ingin menegaskan bahawa setiap pengundi awal yang telah selesai mengundi pada 30 April 2013 tidak boleh mengundi sekali lagi pada hari pengundian biasa kerana nama mereka tidak wujud dalam daftar pemilih pilihan raya bagi pengundi biasa yang akan mengundi pada 5 Mei 2013," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan tengah malam tadi.

Oleh itu, SPR akan meneruskan penggunaan dakwat kekal pada 5 Mei 2013 selaras dengan kehendak undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Beliau berkata SPR telah menerima maklumat berlaku penyebaran gambar melalui laman sosial mengenai pendedahan oleh seorang pengundi awal bahawa dakwat kekal yang dicalit pada jarinya mudah hilang dengan membasuh jarinya.

Kamaruddin berkata SPR juga menerima maklumat bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh seorang pemimpin parti politik berkaitan perkara itu.

Ujian yang dilakukan oleh SPR semalam adalah terhadap pegawai-pegawai SPR yang telah mengundi secara pos dengan sebahagian daripada mereka dicalit dengan dakwat kekal yang botolnya tidak digoncang dan sebahagian yang lain pula dicalit dengan dakwat kekal yang botolnya digoncang.

Ujian ini dibuat berdasarkan kepada cara penggunaan dakwat kekal sebagai mana yang dikehendaki dan dinyatakan pada kotak dan botol dakwat kekal, katanya.

Beliau berkata SPR ingin memaklumkan bahawa SPR membuat beberapa kali ujian terhadap dakwat kekal itu sebelum ia dibekalkan untuk digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

"Terbukti daripada ujian-ujian itu, dakwat itu kekal bagi tempoh lima hingga tujuh hari," katanya.

SPR akan mengadakan demonstasi kepada wakil media esok untuk menunjukkan perkara itu. - Bernama
0 comments
 
Support : xxxx | xxxx | xxxx
Copyright © 2011. BN Youth Cyber Team - All Rights Reserved
created by RioRashid manage by UMB-PPUM
Proudly powered by Blogger