COME JOIN US!!

PDRM Beri Jaminan Keselamatan 4 Kawasan Terlibat Pencerobohan Militan Di Lahad Datu



KUALA LUMPUR: Polis pada Jumaat memberi jaminan keselamatan kepada penduduk di empat daripada lima kawasan yang terjejas akibat pertempuran antara penceroboh militan dan pasukan keselamatan di Lahad Datu, Sabah.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rasid berkata keempat-empat kampung itu ialah Kampung Tanduo, Kampung Tanjung Batu, Kampung Labian dan kawasan Tanjung Bilis.

"Rancangan seterusnya ialah untuk membawa masuk semula penduduk kampung ke kediaman masing-masing dan hidup seperti sedia kala," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan kepada lapan keluarga anggota polis yang terkorban dalam krisis pencerobohan itu di Pusat Latihan Polis, di sini Jumaat.

Sumbangan berbentuk bantuan RM10,000 untuk setiap balu, 19 netbook dan RM200 untuk anak-anak wira yang terkorban itu disampaikan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Ismail dalam ucapannya berkata sumbangan itu menunjukkan keprihatinan kementerian itu terhadap pengorbanan anggota pasukan keselamatan dalam menjamin kedaulatan dan keselamatan negara.

"Sumbangan itu merupakan satu sokongan moral yang sangat tinggi bukan sahaja kepada waris mereka yang terkorban tetapi menjadi suntikan semangat kepada para pejuang yang kini mencurahkan khidmat bakti, berjuang bagi kedaulatan negara," katanya.

Insiden pencerobohan sejak 12 Februari itu mengorbankan 10 anggota keselamatan terdiri daripada lapan anggota polis dan dua tentera. - BERNAMA
Share this article :

Post a Comment

 
Support : xxxx | xxxx | xxxx
Copyright © 2011. BN Youth Cyber Team - All Rights Reserved
created by RioRashid manage by UMB-PPUM
Proudly powered by Blogger