COME JOIN US!!

Kerajaan Umum Bantuan Kepada Rakyat Sabah Mangsa Insiden #PengganasSulu

LAHAD DATU: Kerajaan mengumumkan tiga bantuan untuk penduduk kampung yang terjejas dalam Operasi Daulat berikutan insiden pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo dan Tanjung Batu di sini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa bantuan itu ialah pemberian bantuan ehsan wang tunai RM1,000 kepada setiap keluarga, bantuan pembinaan semula rumah yang musnah dengan kos setiap rumah RM50,000 serta pembaikan kecil untuk rumah yang rosak, dan penjadualan semula bayaran pinjaman kepada penduduk yang berniaga dan meminjam daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Usahawan Nasional (Tekun Nasional) dan Amanah Ikhtiar.

Bagi pembinaan semula, Muhyiddin berkata penduduk boleh memilih sama ada menerima bantuan itu atau berpakat dan berbincang dengan pemimpin setempat untuk berpindah ke satu lokasi dan kerajaan akan membina projek perumahan rakyat.

"Kerajaan sedar dengan Op Daulat yang berjalan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada kehidupan biasa dan pencarian nafkah kerana kebanyakan penduduk terlibat tinggal di kawasan zon merah.

"Disebabkan mereka tidak boleh keluar bekerja dan rumah mereka musnah atau rosak dalam Op Daulat ini, kerajaan bersetuju selepas bermesyuarat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi bantuan kepada mereka," katanya kepada pemberita di Dewan Serbaguna Cenderawasih, Felda Sahabat, di sini, Selasa.

Muhyiddin berkata kesemua bantuan itu hanya akan diberi kepada penduduk yang memiliki kad pengenalan dan dokumen kelahiran yang sah sebagai warganegara ini.

"MKN akan menjalankan bancian dan menyerahkan borang kepada penduduk untuk diisi supaya kita dapat menentukan berapa sebenarnya jumlah penduduk yang bertaraf warganegara terlibat," katanya.

Bagi bantuan pembinaan semula rumah, beliau berkata hanya pemilik tanah dan mereka yang menyewa tanah layak untuk memohon bantuan itu jika rumah mereka musnah.

"Bagaimanapun mereka yang menceroboh (peneroka haram) di tanah mereka duduki kini, tidak layak menerima bantuan tersebut," katanya.

Beliau berkata bagi kesemua bantuan itu, penduduk perlu mendapatkan pengesahan daripada ketua kampung, pemimpin setempat dan pihak berkuasa bagi menentukan mereka merupakan penduduk yang terjejas dalam Operasi Daulat.

Muhyiddin berkata bantuan itu akan dilaksanakan secepat mungkin dan diuruskan MKN.

Beliau turut meminta penduduk setempat menjalin kerjasama rapat dengan pasukan keselamatan bagi memastikan kelancaran Operasi Daulat.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata tinjauan yang dilakukan mendapati kebanyakan sekolah telah kembali beroperasi.

Daripada 53 sekolah di Lahad Datu, hanya tiga sekolah masih belum memulakan sesi persekolahan iaitu Sekolah Kebangsaan Lok Buani, Sekolah Kebangsaan Fajar Harapan dan Sekolah Kebangsaan Tanjung Labian.

Beliau berkata pelajar yang berada di pusat pemindahan akan ditempatkan di sekolah lain di Felda Sahabat atau mendapat bimbingan pelajaran di pusat pemindahan berkenaan.

"Saya telah arahkan Jabatan Pelajaran negeri untuk sediakan bas kepada mereka bagi tujuan pengangkutan serta bantuan buku sekolah dan pakaian sekolah," katanya.

Mengulas dakwaan kononnya seorang guru menghina pasukan keselamatan di sebuah laman blog, Muhyiddin berkata perkara itu amat mendukacitakan kerana semua rakyat kini menyokong penuh pengorbanan pasukan keselamatan dalam menjaga kedaulatan negara.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latif Ahmad, Anggota Parlimen Silam Salleh Kalbi dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Terdahulu dalam lawatan kerja seharinya ke Lahad Datu, Muhyiddin yang tiba di Padang Felda Sahabat 16 di sini pada 11.30 pagi, mengikuti taklimat keselamatan dan seterusnya meninjau pusat penempatan pasukan keselamatan di Dewan Desa Kencana serta melakukan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana.

Muhyiddin turut melawat pusat penempatan sementara di Dewan Serbaguna Cenderawasih sebelum berlepas ke Tawau. BERNAMA
Share this article :

Post a Comment

 
Support : xxxx | xxxx | xxxx
Copyright © 2011. BN Youth Cyber Team - All Rights Reserved
created by RioRashid manage by UMB-PPUM
Proudly powered by Blogger