COME JOIN US!!

KPM Fokus Pelaksanaan Empat Inisiatif 100 Hari Pertama 2013

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran akan memberi tumpuan utama terhadap empat inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dalam tempoh 100 hari pertama tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Inisiatif pertama ialah memperkenalkan program 'School Improvement Partners (SI Partners) Plus and School Improvement Specialist Coaches (SISC) plus' di Kedah dan Sabah dalam usaha membimbing guru bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris (BI) dan Matematik, terutamanya di sekolah-sekolah yang berada dalam Band lima, enam dan tujuh.

"Kedua-dua program itu memberi faedah kepada pengetua, guru besar dan guru. Misalnya melalui SISC plus guru berpeluang mendapat latihan in situ secara langsung mengikut keperluan mereka," katanya semasa menyampaikan perutusan Tahun Baru Kementerian Pelajaran di sini, Khamis.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata inisiatif kedua ialah menilai 70,000 guru opsyen BI melalui Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dan kemudian guru akan dibahagi mengikut tiga kategori berdasarkan keputusan ujian mereka.

"Bagi guru-guru yang tidak mencapai tahap kemahiran yang ditetapkan, latihan separuh masa akan diberikan. Dalam 100 hari ini kementerian akan bersedia untuk melatih 5,000 guru BI," katanya. Sambil menyifatkan awal tahun 2013 sebagai satu tempoh yang kritikal, Muhyiddin berkata inisiatif Sarana Ibu Bapa ke 10,000 sekolah untuk meningkatkan kesedaran, sokongan dan kerjasama dalam kalangan ibu bapa juga akan dilaksanakan.

Inisiatif kempat pula ialah melancarkan Video e-Guru untuk ditonton di semua sekolah dan akan mula diperkenalkan pada bulan ini menerusi program pembangunan profesionalisme baharu dengan mewujudkan perpustakaan video e-Guru yang menyediakan koleksi contoh pengajaran terbaik.

"Menerusi video e-Guru, setiap guru akan mendapatkan gambaran bersifat amali tentang amalan pengajaran yang dilaksanakan oleh guru cemerlang di bilik darjah dan berharap akan dimanfaatkan bagi menjayakan dasar Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik," katanya.

Muhyiddin berkata di samping empat inisiatif itu, kementerian tidak akan mengenepikan inisiatif PPPM lain yang sepatutnya dicapai dalam gelombang pertama 2013 termasuk usaha meningkatkan kemahiran berfikiran aras tinggi (HOTS) dalam kalangan murid.

Sehubungan itu, kementerian akan melaksanakan latihan HOTS kepada 31,000 guru Sains dan Matematik Tingkatan Satu, Dua dan Tiga dan menerusinya diharapkan 20 peratus soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) adalah soalan pemikiran aras tinggi. Muhyiddin berkata program i-Think pula akan lebih fokus dalam pembelajaran, kemahiran penaakulan meningkat dan berupaya menjawab soalan aras tinggi dan untuk tujuan itu, 2,500 guru dan 500 buah sekolah akan diberi latihan.

Peningkatan pencapaian murid dalam kepimpinan sekolah dan kualiti guru juga akan diberi tumpuan menerusi Linus 2.0 merangkumi literasi BI, piagam dan pakej guru serta pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Profesional Berterusan baharu.

Katanya kementerian juga akan terus berusaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif melalui peningkatan infrastruktur sekolah dengan memberi tumpuan kepada murid berkeperluan khas. -BERNAMA
Share this article :

Post a Comment

 
Support : xxxx | xxxx | xxxx
Copyright © 2011. BN Youth Cyber Team - All Rights Reserved
created by RioRashid manage by UMB-PPUM
Proudly powered by Blogger