COME JOIN US!!

Akta Perhimpunan Aman: Jamin Hak Bersuara & Kebebasan Orang Lain

Ketua Polis Kuala Lumpur: Datuk Mohmad Salleh
KUALA LUMPUR: Akta Perhimpunan Aman 2012 menjamin hak bersuara rakyat mengikut saluran sesuai di samping memastikan ketenteraman awam tidak terjejas bagi melindungi hak kebebasan orang lain, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh.

Beliau berkata akta itu digubal bagi memastikan kebebasan individu untuk berhimpun secara aman selaras dengan hak yang termaktub dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan.

Namun begitu, katanya pihak tertentu sengaja enggan memahami niat murni pengubalan akta tersebut malah cuba menanam tanggapan negatif rakyat terhadap akta itu dan pihak polis yang cuba menguatkuasakannya.

"Polis tidak akan mengambil sebarang tindakan jika sebarang perhimpunan yang diadakan mengikut syarat yang termaktub dalam akta tersebut," katanya kepada Bernama.

Justeru, Mohmad menyarankan kepada masyarakat agar membaca dan memahami intipati akta itu yang boleh diperoleh di internet agar mereka tidak mudah menyalahkan pihak berkuasa jika tercetus insiden pada perhimpunan.

Seksyen 2 akta itu memperuntukkan hak warganegara untuk menganjur dan menyertai perhimpunan secara aman tetapi tertakluk kepada sekatan yang difikirkan sesuai dalam suatu masyarakat demokrasi demi keselamatan negara serta perlindungan hak dan kebebasan orang lain.

Seksyen 4 pula, antara lain, menetapkan hak berhimpun tidak terpakai kepada bukan warganegara, protes jalanan serta yang melibatkan kanak-kanak.

"Masih ramai masyarakat yang tidak membaca mengenai fakta itu sehingga mereka mudah terpengaruh dengan dakwaan palsu oleh pihak tertentu," kata Mohmad.

Tidak memahami akta itu menyebabkan orang ramai memberi gambaran negatif kepada pihak berkuasa yang menjalankan tugas demi menjaga keamanan dan ketenteraman awam, katanya.

Pada 28 April tahun lepas, kerajaan kerugian RM1.8 juta akibat kerosakan kenderaan polis dan awam berikutan perhimpunan di Dataran Merdeka, anjuran sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang didalangi pembangkang, telah bertukar menjadi ganas.

Semasa rusuhan itu, polis menahan 513 peserta setelah mereka merempuh halangan polis, yang menjaga kawasan di Dataran Merdeka berikutan perintah mahkamah melarang kehadiran orang awam di dataran itu mulai 28 April hingga 1 Mei.

Pelbagai pihak termasuk golongan peniaga kecil, pemilik premis perniagaan, pengunjung dan NGO membantah perhimpunan itu kerana menjejaskan kegiatan harian mereka.

Susulan insiden itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, 64, serta beberapa individu lain didakwa di mahkamah pada 22 Mei lepas, kes pertama didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012. - Bernama
Share this article :

Post a Comment

 
Support : xxxx | xxxx | xxxx
Copyright © 2011. BN Youth Cyber Team - All Rights Reserved
created by RioRashid manage by UMB-PPUM
Proudly powered by Blogger